Latar belakang Perang_Khaibar

Khaibar pada abad Ketujuh

Dalam abad ketujuh Masihi, Khaibar dihuni Yahudi. Penduduk Khaibar menyimpan senjata —jentera kepungan, pedang, lembing, perisai dan perlatan lain— di dalam kubu mereka. Pada masa lampau para sarjana cuba menberi penjelasan tentang perlengkapan perang ini dengan menyarankan ia digunakan bagi menyelesaikan pertelingkahan antara keluarga-keluarga Yahudi dalam masyarakat Khaibar. Vaglieri mencadangkan bahawa lebih logik jika dianggap bahawa persenjataan itu disimpan bagi penjualan pada masa mendatang. Seiring dengan itu orang Yahudi menyimpan 20 bandela kain dan 500 jubah serta barangan mewah lain untuk dijual.[6]

Oasis dibahagikan kepada tiga kawasan: al-Natat, al-Shikk, dan al-Katiba, berkemungkinan besar disebabkan pembahagian alami seperti kawasan gurun, aliran lava dan kawasan paya. Pada setiap satu kawasan ini terdapat beberapa kubu yang mengandungi rumaha kediaman, tempat menyimpan barang dan kandang kuda. Setiap kubu pula didiami sebuah keluarga dan dikelilingi tanah pertanian dan ladang tamar. Bagi memperkukuhkan pertahanan, kubu-kubu tersebut dibina di tanah tinggi atau batu basalt.[6]

Bani Nadhir

Lihat juga: Bani Nadhir

Selepas diusir dari Madinah pada tahun 625 M, Bani Nadhir berpindah ke dan menduduki Khaibar. Pada tahun 627, ketua Nadhir, Huyaiy ibn Akhtab bersama-sama anaknya menyertai Quraisy Makkah dalam pengepungan Madinah.[10] Tambahan pula Nadhir mengupah suku kaum Arab agar memerangi orang Islam. Bani Nadhir menambah 2,000 orang tentera dan 300 tentera berkuda daripada Bani Ghatafan kepada pasukan Gabungan yang mengepung Madinah, dengan menyogok mereka dengan separuh daripada hasil tanaman mereka.[11][12] dan dengan cara yang sama juga berjaya memujuk Bani Asad menyertai perang terhadap orang Islam Madinah.[13] Mereka cuba mendapatkan Bani Sulaim bagi menyerang Muslim akan tetapi suku itu hanya dapat memberi 700 orang tentera, kerana ada di kalangan orang besar Salaim yang menyenangi Islam; Bani Amir enggan menyertai ekspedisi terhadap Madinah kerana perjanjian mereka dengan Nabi Muhammad.[14] Apabila pertempuran bermula (Perang Ahzab), Huyaiy ibn Akhtab memujuk Bani Quraizah melanggar perjanjian dengan Nabi Muhammad dan memerangi orang Islam dari dalam kawasan Madinah.[15] Selepas kekalahan pihak Gabungan dalam pertempuran Ahzab serta penyerahan kalah Bani Quraizah, Huyaiy (yang pada masa itu berada di dalam kubu Quraizah) dihukum bunh bersama-sama orang lelaki Quraizah. Selepas kematian Huyaiy, Abu al-Rafi ibn Abi al-Huqaiq menjadi ketua Nadhir di Khaibar. Tidak lama kemudian Al-Huqaiq mengumpulkan orangnya bagi menentang Nabi Muhammad.[16][17] Al-Huqaiq dibunuh orang Islam selepas niatnya diketahui.[18]

Al-Huqaiq diganti oleh Usair ibn Zarim. Satu sumber[19] menyatakan bahawa Usair juga berjumpa Ghatafan dan timbul khabar angin mengatakan bahawa Usair berniat menyerang 'ibu negeri [Nabi] Muhammad'.

Nabi Muhammad menghantar Abdullah bin Rawaha beserta beberapa orang Sahabat termasuk Abdullah bin Unais, sekutu Bani Salima, satu kaum yang bermusuhan dengan Yahudi. Apabila kumpulan ini berjumpa Unais, mereka melayannya secara baik dan menjemputnya melawat Madinah. Mereka terus melayannya sehinggalah beliau bersetuju pergi ke Madinah dengan iringan beberapa orang Yahudi. Abdullah bin Unays memberi tunggangannya kepada Unais sehinggalah mereka sampai di al-Qarqara, lebih kurang 6 batu (9.7 km) dari Khaibar. Usair menukar fikiran dan enggan meneruskan perjalanan. Abdullah dapat meneka niatnya semasa Usair menghunus pedang, justeru Abdullah menyerbu Usair. Kesemua Sahabat menyerbu orang Yahudi dan membunuh kesemua 30 orang Yahudi kecuali seorang yang berjaya melarikan diri.[20] Abdullah bin Unays ialah Sahabat yang menawarkan diri bagi membunuh Sallam ibn Abu al-Huqaiq dari Bani Nadhir, yang berjaya beliau bunuh dalam misi malam terdahulu.

Ramai pengkaji sejarah menganggap daya helah dan kelakuan Yahudi yang gemar berkomplot sebagai penyebab pertempuran di Khaibar. Watt berpendapat daya helah serta penggunaan harta mereka bagi menghasut suku-suku di Arabia supaya menentang Nabi Muhammad memberi pihak Islam tiada pilihan melainkan menyerang Nadhir.[21] Vaglieri bersetuju dengan menyatakan bahawa salah satu sebab serangan terhadap Khaibar ialah penglibatan dan peranan Nadhir dalam Perang Ahzab.[6] Shibli Numani juga melihat kepada tindak-tanduk Nadhir semasa Perang Ahzab, terutamanya tindakan ketua Nadhir, Huyaiy ibn Akhtab, yang pergi ke Bani Quraizah semasa pertempuran berlangsung bagi mendapatkan kerjasama mereka menentang Nabi Muhammad.[16]

Perjanjian Hudaibiyah

Lihat juga: Perjanjian Hudaibiyah

Pada tahun 628 M, orang Islam membuat perjanjian dengan pihak Quraisy semasa musim Haji.[22] Mahupun terdapat beberapa rungutan di kalangan pengikut Nabi Muhammad, perjanjian ini menamatkan peperangan antara Muslim dan musyrik Makkah. Namun, syarat-syarat Hudaibiyah dilihat oleh orang Islam biasa sebagai berat sebelah dan ini menjejaskan semangat mereka.[23]

Ada sarjana Barat berpendapat bahawa oleh sebab kewibawaan Nabi Muhammad tejejas oleh perdamaian Hudaibiyah, maka perlu satu tindakan yang dapat memulihkan keadaan. Justeru Perjanjian Hudaibiyah menjadi satu sebab mengapa Khaibar diserang – yakni serangan terhadap Yahudi dapat meningkat semangat orang Islam.[6][24][25][26]

Beberapa pengkaji beragama Islam pula berpendapat, sama dengan pendapat Watt, bahawa sifat angkuh Yahudi yang sentiasa mahu memerangi Nabi Muhammad menjadi penyebab Khaibar diserang. Orang Islam mencari persahbatan dan perdamaian dengan Yahudi yang mereka anggap sebagai 'Ahli Kitab'. Orang Islam mengharapkan penganut agama yang menolak penyembahan berhala akan membantu Islam memerangi Quraisy musyrik. Namun, usaha ini tidak berhasil dan sebaliknya Yahudi mengkhianati perjanjian yang mereka meterai dengan orang Islam. Menyedari kelakuan Yahudi yang gemar bermusuh, Nabi Muhammad beberapa kali menghantar perutusan yang memberi amaran kepada Yahudi agar menghentikan tindakan mereka.[27][28]

Keadaan politik

Apabila melihat bahawa peperangan dengan Nabi Muhammad sudah tidak dapat dielakkan, Yahudi Khaibar membuat perjanjian dengan Yahudi oasis Fadak. Mereka juga memujuk suku Bani Ghatafan menyertai mereka menetang orang Islam dengan menawarkan Ghatafan separuh daripada hasil tanaman mereka. Berbanding dengan kekuatan angkatan di utara mereka, tentera Nabi Muhammad tidak besar dan tidak kelihatan berdaya menyerang Khaibar dengan jaya. Justeru Yahudi Khaibar tidak melengkapkan diri mereka sepenuhnya untuk berperang. Seiring dengan pengetahuan bahawa tentera Nabi Muhammad kecil bilangannya serta memiliki kelengkapan perang yang mencukupi, ketiadaan ketua di kalangan Khaibar juga menyebabkan persiapan pertahanan diri sambil lewa yang dibuat Yahudi Khaibar. Mereka tiada pertahahan bersatu dan pertelingkahan yang belum berkesudahan antara beberapa keluarga di kalangan mereka juga menyumbang kepada kelemahan pertahanan Khaibar.[6] Bani Fazara, yang mempunyai pertalian saudara dengan Bani Ghatafan, juga menawarkan pertolongan selepas kegagalan rundingan mereka dengan pihak Muslim.[29]

Kegagalan Bani Ghatafan

Semasa pertempuran, pihak Muslim berjaya menghalang sekutu Khaibar, Bani Ghatafan (lebih kurang 4,000 orang) dari memperkuatkan angkatan Ghatafan. Watt, berpendapat bahawa khabar angin yang tentera Islam akan menyerang penempatan Ghatafan memainkan peranan dalam hal ini.[24][30]Mengikut sejarawan Islam, Imam al-Tabari, perhentian pertama Nabi Muhammad ialah di lembah al-Raji, yang terletak di antara Ghatafan dan Khaibar. Apabila mendengar berita tentang kedudukan orang Islam, pihak Ghatafan berkumpul dan berkelana bagi menunaikan janji mereka dengan Khaibar. Selepas sehari perjalanan, Ghatafan berfikiran yang mereka terdengar tentera Islam di belakang mereka dan berpusing balik demi mempertahankan keluarga dan harta mereka. Ini membuka jalan kepada tentera Nabi Muhammad.[31] Satu cerita lain pula mengisahkan bahawa suara misteri memberi amaran bahaya kepada mereka dan meyakinkan mereka agar pulang.[32]